Fungsi Suruhanjaya

Fungsi SPAJ adalah sebagaimana yang termaktub didalam undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Awan Johor Bil. 4 Tahun 1959 yang meliputi perkara berikut :-


# Pelantikan
Suruhanjaya menguruskan pelantikan anggota Perkhidmatan Awam secara tetap, sementara, kontrak, tukar sementara dan pinjaman. Suruhanjaya berkuasa menamatkan perkhidmatan anggota Perkhidmatan Awam mengikut syarat-syarat perlantikan. Suruhanjaya telah memberi perwakilan kuasa kepada Pentadbiran Kerajaan-kerajaan Negeri yang berkenaan bagi jawatan-jawatan mahir dan separuh mahir.


# Pengesahan Dalam Perkhidmatan
Suruhanjaya melaksanakan urusan pengesahan dalam perkhidmatan, melanjutkan tempoh percubaan, mengembalikan kakitangan ke jawatan asalnya atau menamatkan perkhidmatan kerana kegagalan disahkan dalam perkhidmatan. Suruhanjaya telah memberi perwakilan kuasa Mengesahkan Dalam Perkhidmatan Kepada Ketua Jabatan bagi jawatan-jawatan tetap dalam Kumpulan Separuh Mahir dan Mahir.


# Pemberian Taraf Berpencen
Suruhanjaya menguruskan pemberian jawatan berpencen kepada anggota perkhidmatan awam Johor yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan berkhidmat dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang boleh diambilkira sebagai perkhidmatan berpencen untuk tempoh tidak kurang tiga (3) tahun, tidak termasuk anggota Kumpulan Mahir dan Separuh Mahir.


# Pertukaran Perkhidmatan
Suruhanjaya adalah Pihak Berkuasa bagi urusan pertukaran tetap anggota perkhidmatan awam Johor dari satu skim perkhidmatan ke satu perkhidmatan yang lain di Suruhanjaya yang berlainan dan dari satu perkhidmatan yang lain untuk skim perkhidmatan yang sama. Suruhanjaya juga adalah pihak berkuasa yang melaksanakan urusan pertukaran tetap pegawai-pegawai yang dilantik secara tukar sementara dan pinjaman.


# Kenaikan Pangkat
Suruhanjaya juga berfungsi sebagai Lembaga Rayuan Kenaikan Pangkat bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Sokongan dalam perkhidmatan awam Johor sebagaimana yang diperuntukan di bawah peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang berkenaan.


# Kawalan Tatatertib
Suruhanjaya adalah merupakan Pihak Berkuasa yang mengendalikan urusan tindakan tatatertib bagi tujuan buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai-pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta sebagai Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam Johor bagi Semua Kumpulan Jawatan sebagaimana yang diperuntukan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam yang berkenaan.